|
BIODATA DAN TOKOH SEKOLAH
|
Dr
Burhanuddin Al Helmi
Dr
Burhanuddin Al Helmi dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos
1911, dan meninggal dunia di Taiping pada 25 Oktober 1969. Beliau mendapat
pendidikan awal di Belirang Ulu Bakap dan Kota Bharu Perak. Kemudian beliau
mengaji agama di Tanah Datar Sumatra Barat, Jitra Kedah dan Madrashah
Al Masyhur Pulau Pinang. Beliau mendapat gelaran "Doktor" selepas
mengikuti bidang Homeophati di India.
Beliau
dikenali sebagai pejuang kebangsaan yang gigih. Beliau menyertai KMM pada
tahun 1939. Beliau pernah bekerja dengan pihak Jepun di Taiping. Selepas
Perang Dunia Ke 2, beliau memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),
selepas mengambil alihnya daripada Mukhtaruddin Lasso. PKMM juga menentang
perlaksanaan Malayan Union melalui penyertaannya dalam UMNO. Akhirnya
KPMM keluar dari UMNO untuk memperjuangkan kemerdekaan.
Seterusnya
pari-parti Melayu yang dianggap kiri menubuhkan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat),
pimpinan Dr Burhanuddin bergabung dengan AMCJA (All Malayan Council of
Joint Action) yang di ketuai oleh Tan Cheng Lock, menggagaskan 10 Perlembagaan
Rakyat pada tahun 1947. Beliau juga pernah menganjurkan beberapa persatuan
untuk kemajuan umat Islam seperti PEPERMAS (Pusat Perekonomian Melayu
Se Malaya), LEPIR (Lembaga Pendidikan Rakyat) dan MATA (Majlis Agama Tertinggi)
di Gunong Semanggol, Perak. Beliau pernah bertemu dengan Sukarno dan Hatta
di Taiping pada tahun 1945.
Bagaimanapun,
Dr Burhanuddin telah ditangkap berikutan pengisytiharan darurat pada tahun
1948. Tema idealisme politik beliau yang utama ialah Kebangsaan Melayu,
Hak Ketuanan Melayu dan Melayu Raya.
(Lihat Salina Hj Hassan, "Dr Burhanuddin Al Helmy,1911 - 1969"
, JEBAT, Bil 14, 1986. dan Kamaruddin Jaafar, Dr Burhanuddin Al Helmy:
Politik Melayu dan Islam, Yayasan Anda, Kuala Lumpur, 1980)
|
|